Unit amanah bukan lagi suatu perkara yang asing bagi rakyat Malaysia. Ramai orang yang berminat melabur dalam unit amanah sebagai pelaburan jangka masa panjang. Dengan modal yang minimum dan risiko yang sederhana, pelabur juga dapat mempelbagaikan pelaburan mereka disamping ianya akan diuruskan oleh pengurus dana profesional.
Setelah selesai membaca artikel ini, anda akan dapat mengenal pasti perkara-perkara penting yang perlu diberi perhatian ketika membaca prospektus unit amanah dan kemudiannya memilih dana yang bersesuaian dengan objektif pelaburan dan profil risiko anda.
Apa itu prospektus?
Prospektus ialah dokumen yang paling penting untuk anda perolehi sebelum melaburkan wang dalam dana unit amanah. Ia berfungsi sebagai suatu panduan supaya anda boleh mengetahui apa yang bakal diperolehi daripada sesebuah dana. Prospektus biasanya mengandungi maklumat penting seperti objektif dan strategi pelaburan, risiko yang bakal dihadapi, prestasi kewangan (jika ada), yuran atau caj yang perlu ditanggung dan lain-lain.
Kepentingan membaca prospektus
Terdapat ratusan jenis dana unit amanah yang ditawarkan di pasaran sekarang. Sebagai pelabur, satu perkara asas yang perlu dilakukan untuk memperolehi maklumat berkenaan sesebuah dana ialah dengan membaca prospektus. Setelah membaca prospektus, anda sebagai bakal pelabur akan dapat memilih dana yang bersesuaian dengan objektif pelaburan dan toleransi risiko serta membuat keputusan pelaburan yang berasaskan maklumat. Di samping itu, anda juga dapat mengetahui hak-hak sebagai pelabur serta memahami maklumat penting mengenai seseuatu dana. Prospektus adalah dokumen yang mesti dibaca dan anda tidak sepatutnya terlalu bergantung kepada risalah, iklan atau seminar, apatah lagi kepada khabar angin yang tidak dapat dipastikan kesahihannya.
Di mana boleh saya dapatkan prospektus?
Anda boleh bermula dengan mencari pengagih (distributor) dana unit amanah. Menurut laman web Persekutuan Pengurus-Pengurus Pelaburan Malaysia (FIMM), terdapat empat jenis pengagih dana unit amanah iaitu:
• Penasihat Unit Amanah Institusi (IUTA) – Institusi, organisasi atau syarikat yang dilesenkan oleh Suruhanjaya Sekuriti, Malaysia bagi tujuan menjalankan urusniaga sekuriti terhad kepada unit amanah dan juga berdaftar dengan FIMM bagi tujuan memasar dan mengagih dana unit amanah.
• Syarikat Pengurusan Unit Amanah (UTMC) – syarikat yang dibenarkan untuk menerbitkan atau menjual unit-unit bagi Skim Unit Amanah, selaras dengan Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007.
• Penasihat Unit Amanah Korporat (CUTA) – Institusi, organisasi atau syarikat yang dilesenkan oleh Suruhanjaya Sekuriti, Malaysia bagi tujuan menjalankan aktiviti terkawal berkaitan perancangan kewangan dan urusniaga sekuriti terhad kepada unit amanah dan juga berdaftar dengan FIMM bagi tujuan memasar dan mengagih dana unit amanah.
• Perunding Unit Amanah (UTC)– sebarang individu yang telah berdaftar dengan FIMM bagi tujuan memasar dan mengagih dana unit amanah.
Selain itu, kebanyakan dana unit amanah juga menyediakan salinan digital prospektus di laman web mereka.
Secara amnya, maklumat yang terkandung dalam prospektus sah selama setahun. Oleh itu, sentiasa dapatkan prospektus dana unit amanah yang terbaru bagi mendapat maklumat terkini dan semasa.
Panduan membaca prospektus
Ini adalah elemen-elemen penting yang harus diperhatikan semasa membaca prospektus:
• Objektif pelaburan
Sesetengah dana bertujuan memberikan pendapatan yang berterusan, sementara ada dana yang lebih tertumpu kepada pertumbuhan modal jangka panjang atau kedua-duanya sekali. Ingat! Dana unit amanah ialah pelaburan jangka panjang, jadi pertimbangkanlah perkara ini semasa mengenal pasti objektif pelaburan dana yang boleh membantu mencapai objektif pelaburan anda.
• Strategi pelaburan
Maklumat mengenai strategi pelaburan akan memberitahu anda tentang cara pengurus dana mahu mencapai objektif yang ditetapkan; pendekatan yang akan digunapakai serta bagaimana peruntukan aset akan dibuat (dari segi pendedahan kepada instrumen pelaburan serta pemilihan sektornya). Sebagai contoh, dana unit amanah yang ditawarkan Syarikat A mungkin melabur dalam ekuiti dan pasaran hadapan manakala Syarikat B mungkin melabur dalam bon korporat, instrumen pasaran wang dan deposit. Dengan membaca prospektus, anda boleh menentukan strategi pelaburan yang paling sesuai dengan objektif pelaburan yang ditetapkan.
(Bersambung di Bahagian 2)
0 comments:
Post a Comment