Dalam artikel “Rahsia Pelabur Bijak: Kenali Pelaburan Anda Melalui Prospektus (Bahagian 1)” yang lalu, kita telah berbincang tentang prospektus, kepentingan membacanya, cara mendapatkannya serta panduan membacanya. Kali ini, kita akan memberi perhatian terhadap faktor risiko, profil pelabur, prestasi kewangan serta yuran dan caj yang bakal dikenakan.
• Faktor risiko
• Faktor risiko
Ambil perhatian terhadap risiko yang mungkin ditanggung dan bandingkannya dengan kadar toleransi risiko anda sendiri. Antara faktor yang mungkin mempengaruhi kadar toleransi risiko anda termasuklah:
- Berapa lama tempoh yang boleh diperuntukkan sebelum anda ingin menggunakan wang daripada pelaburan tersebut;
- Sama ada anda sanggup dan mampu menghadapi turun naik pelaburan dalam jangka masa panjang;
- Pengalaman pelaburan anda pada masa lalu (jika ada); dan
- Jangkaan anda terhadap unit amanah tersebut.
Risiko yang biasanya dihadapi oleh pelabur unit amanah ialah risiko pasaran, risiko kadar faedah, risiko kecairan dan risiko kredit. Sebagai contoh, prestasi dana yang mempunyai pelaburan dalam pasaran baru muncul (emerging markets) boleh dipengaruhi oleh keadaan ekonomi dan politik pasaran tersebut. Di samping itu, perubahan dalam kadar tukaran wang asing akan turut memberi kesan kepada pulangan dana itu.
• Profil pelabur
Kebanyakan prospektus akan menerangkan mengenai profil pelabur iaitu jenis pelabur bagaimanakah yang sesuai melabur dalam dana tersebut. Ia hanya berfungsi sebagai suatu panduan dan anda perlu memadankannya dengan keadaan diri sendiri.
- Prestasi kewangan
Prestasi kewangan sesuatu dana boleh dijadikan sebagai petunjuk berguna tentang cara dana itu diuruskan, terutamanya jika ianya sudah lama berada di pasaran. Jika dana itu pernah berjaya mengharungi keadaan ekonomi atau pasaran yang sukar, anda tentunya akan berasa lebih yakin dengan prestasinya di masa depan. Anda juga boleh membandingkan prestasi dana tertentu dengan dana yang lain serta penanda aras prestasinya.
Ingat! Prestasi lalu tidak menjamin kejayaan dana pada masa hadapan!
|
• Yuran dan caj yang bakal dikenakan
Memandangkan semua unit amanah diuruskan secara profesional oleh pengurus dana, anda perlu membayar pelbagai yuran dan caj. Sebagai seorang pelabur, antara yuran dan caj yang mungkin dikenakan termasuklah:
Yuran
Ambil perhatian terhadap caj jualan atau caj-caj lain yang perlu dibayar kepada pengurus dana. Caj ini dikenali sebagai caj muka (front end) atau caj belakang (back end). Dana yang berbeza mempunyai caj yang berlainan. Cajbagi dana unit amanah boleh dibayar sebagai:
- Caj muka iaitu komisen atau caj jualan yang dikenakan semasa pembelian unit dalam dana unit amanah; atau
- Caj belakang, iaitu caj jualan yang harus dibayar semasa menjual kembali unit dalam dana unit amanah.
Yuran pembelian/penebusan semula
Seorang pelabur mungkin dikenakan yuran keluar semasa membeli/menebus semula pelaburannya. Sebagai contoh, yuran keluar akan dikenakan jika pelabur menebus semula pelaburan dalam dana bon sebelum tarikh matang.
Yuran pertukaran
Jika anda mahu menukar pelaburan (contohnya bertukar daripada dana ekuiti ke dana amanah pasaran wang), anda mungkin dikenakan yuran pertukaran. Kebanyakan dana unit amanah membenarkan anda membuat tukaran dana (sama ada sebahagian atau penuh), asalkan and amembayar yuran pertukaran yang ditetapkan. Biasanya, dana itu akan menetapkan baki minimum pelaburan sebelum membenarkan anda membuat pertukaran. Ini untuk mengelakkan pemegang dana unit amanah daripada menukar pelaburan mereka dengan sewenang-wenangnya.
Yuran pengurusan
Ini merupakan bayaran kepada syarikat pengurusan bagi mentadbir dan menguruskan dana dan dicajkan secara langsung kepada dana. Jumlah ini berbeza-beza dan bergantung kepada stail pengurusan dana, misalannya aktif atau pasif.
Yuran lain yang berkaitan
Antara yuran lain yang mempunyai kaitan langsung dengan dana unit amanah termasuk yuran penjaga/pemegang amanah sebagai kustodian kepada aset dana, yuran guaman, yuran perakaunan, yuran audit dan cukai.
Prospektus dana unit amanah akan menunjukkan segala yuran yang perlu dibayar, jadi pastikan anda membacanya secara mendalam. Sentiasa peka terhadap yuran yang dikenakan kepada pelabur dan apa pula yuran yang dicajkan kepada dana. Anda kemudiannya bolehlah membuat perbandingan menyeluruh antara struktur kos dana unit amanah yang berlainan sebelum membuat keputusan pelaburan.
Kesimpulan
Pelabur yang sudah arif dengan dunia pelaburan juga kadang-kadang menganggap pembacaan prospektus sebagai suatu yang tidak penting dan hanya membacanya sambil lewa. Pembacaan teliti sebuah prospektus akan mendedahkan maklumat penting yang amat perlu diketahui seperti objektif pelaburan, profil risiko, halangan, strategi pelaburan dan banyak lagi. Meluangkan sedikit masa anda untuk mengamati maklumat tersebut pastinya berbaloi. Ia akan mencegah anda daripada membuat keputusan pelaburan yang mungkin dikesali di kemudian hari. Confucius pernah berkata, “Orang yang baik sentiasa meningkatkan keupayaannya” (“Good people strengthen themselves ceaselessly”) dan SIDC percaya bahawa pelabur yang baik akan turut sentiasa meningkatkan keupayaan mereka dengan sentiasa mencari ilmu pengetahuan berkaitan pelaburan, dan ianya bermula dengan membaca prospektus.
0 comments:
Post a Comment